QURAN dan TerJemahan ~ PerHatikan Pesanan Allah dlm KiTabNya ini

AL QURAN

Listen to Quran
~*~*~*Al-Quran OnLine

02 March, 2011

Fitnah terhadap Siti Aisyah ~ CERITA BOHONG DAN TAUBAT PENUDUH TETAP DITERIMA

TAUBAT.

Perkara : 7. CERITA BOHONG DAN TAUBAT PENUDUH TETAP DITERIMA.
  
Bilangan : 1/1 
Hadis : 1582 - Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w
katanya: Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya
mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya.
 Undian tersebut dikeluarkan kepada isteri-isteri baginda. Sesiapa yang
bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina
Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk
memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi
akulah yang berjaya.
Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas
turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk
perempuan yang diletakkan di atas unta).
Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah
s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat
seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah.
Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan.
Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera.
Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan
perjalanan.
Tatakala aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang
diperbuat dari Manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali
lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam
keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan
membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus
pulang.
Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata:
Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan
tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan
menyebabkan para Sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat
Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis.
Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak
aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian
mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana.
 Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar
kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa
mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin al-Muattal as-Sulami az
-Zakwani telah ditinggal oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal
malam hinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran
dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati
aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum
hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya ketika dia
mengetahui bahawa aku tidur di situ.
Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak
bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun
sepatah selain ucapannya sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya.
Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak
ditangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami
berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas
terik.
Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu
Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di
Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang
menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak
mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah
malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya
kurasakan ketika aku sakit.
 Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya:
"Bagaimana keadaanmu?"
Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku
tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar
bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang
biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada
waktu malam. Keadaan ini berterusan hinggalah kami membina tandas
berhampiran dengan rumah kami.
 Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya
kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran
dengan rumah kami.
Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu
Ruhmi bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin
Amir ibu saudara Abu Bakar as-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin
Usaasah bin Abbad bin al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku
berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba
Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata:
Celaka Mistah!
Aku berkata kepadanya:
Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid
dalam peperangan Badar.
Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah
engkau mendengar apa yang dia katakan?
 Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan?
Lantas Ummu Mistah
menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong.
Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat.
 Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda
mengucapkan salam kemudian bertanya:
"Bagaimana keadaanmu?"
Aku menjawab: "Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku?"
Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku.
 Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku:
Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku?
Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada disamping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya.
  Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang
ramai memfitnah ku?
Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi
mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi
keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian.
Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan
Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu
wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada
Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan
kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata:
 " Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang
baik."
Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: "Allah tidak menyulitkan kamu
malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan
pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul."

Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah
(pembantu rumah) dan bertanya:
"Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat
sesuatu yang meragukan tentang Aisyah?"
Barirah menjawab: "Demi Allah yang
mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya,
nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang
gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya
sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya"


Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar
meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh
Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah
s.a.w bersabda semasa berkhutbah:
"Wahai kaum muslimin! Siapakah yang ingin
menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku?
Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak
pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku."

Lalu Saad bin Muaz al-Ansari bangun berkata: "Aku yang akan menolongmu
daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku
akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami
daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan
segala perintahmu itu."

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin
Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang salih
tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak.

Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak
dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya!

 Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin
Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang
munafik yang membela orang-orang munafik.
Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj,
sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak
henti-henti menenangkan mereka hinggalah mereka terdiam kerana melihat
Rasulullah s.a.w diam.

Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari.
Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah
pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh
membawa kepada terbelahnya jantungku.

 Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta
izin menemuiku.
Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.
Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam,
lalu duduk bersama aku.
Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak
berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan
kepada baginda mengenai keadaanku.
Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah
ketika duduk kemudian bersabda:
 "Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang
dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan
menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan
daripada Allah dan bertaubatlah kepadaNya kerana sesungguhnya apabila
seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan
menerima taubatnya"

Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda,
aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis.

Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa
yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang
harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w.

 Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w.
Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan
kepada Rasulullah s.a.w.
 Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca
al-Quran.
Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga
tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku
katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui
bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku.
 Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang
mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku.
Demi Allah, aku tidak punyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali
kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: Yang bermaksud:
"Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang
dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu"


Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat
tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin
diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah.
Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang
permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan
oleh Allah s.w.t.
 Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya
bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu.
Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari
tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami
keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada NabiNya, baginda
kelihatan berubah.
 Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk
kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda.

Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan
pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya:
 "Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan
kamu!"
Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku
menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya
akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat al-Quran
menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud:
 (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah
segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t
menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku.

 Saidatina Aisyah berkata: Lalu Saidina Abu Bakar orang yang selalu memberi
nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga
Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan
nafkah kepadanya lagi selepas dia menfitnahkan Saidatina Aisyah r.a.
Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat sehingga
ayat Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang
hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada
kaum keluarga hinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah
kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu.

 Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin al-Mubarak menyebut: Inilah ayat
yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah.
 Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t.
Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa
dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya.
Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti
Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui
atau apakah pendapatmu?
Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan
penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan.
Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w
yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak
berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang
turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang
celaka!.

. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~

No comments:

~*~ Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... ~*~