QURAN dan TerJemahan ~ PerHatikan Pesanan Allah dlm KiTabNya ini

AL QURAN

Listen to Quran
~*~*~*Al-Quran OnLine

11 February, 2011

RASULULLAH TIDAK PERNAH MENGUBAT ORANG YANG SAKIT..???

RASULULLAH TIDAK PERNAH MENGUBAT ORANG YANG SAKIT?
BENARKAH RASULULLAH TIDAK PERNAH MENGUBAT ORANG YANG SAKIT?

Soalan


Saya mendengar seorang penceramah mengulas sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w., pernah dibawa kepadanya seorang pesakit meminta diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain.
Kata penceramah itu Rasulullah tidak mengubatkan pesakit. Oleh itu bagaimana kita hendak kaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi tidak melakukannya? Mohon dijelaskan kesahihan hadis tersebut.
AHMAD NIZAM YAAKUB
Ukay Perdana, Hulu Klang

Jawapan


Hadis yang dirujukkan penceramah tersebut adalah betul. Ia adalah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim dalam juzuk kelima.


Hadis sepenuhnya bermaksud begini:


Disebut lbnu Syihab az-Zukhri katanya; seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w., sengatan ular ini amat serius, lelaki itu berada di dalam sangat kritikal. Lalu Nabi bertanya kepada sahabat, apakah ada orang yang mahir mengubati bisa ular. Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Aalu Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini. Nabi bertanya siapakah nama pengubat yang terbaik itu, lalu mereka menjawab ‘Ammarah Ibnu Hazmin. Pesakit ini dibawa berjumpa dengan ‘Ammarah, tetapi beliau enggan mengubatkannya. Lalu pesakit ini dibawa berjumpa Rasulullah s.a.w. semula.


Nabi bertanya ‘Ammarah mengapa beliau enggan merawat. Jawabnya, saya telah memeluk agama Is­lam dan saya Mendengar Rasulullah s.a.w. melarang jampi mantera untuk rawatan. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepada beliau, bukan semua jampi mantera diharamkan. Ada yang boleh diamalkan jika tiada dalam jampi itu perkataan yang syirik. “Nabi menyuruh ‘Ammarah membaca jampi yang ada padanya untuk rawatan bisa tersebut. Selepas mendengarnya, Nabi membenarkan ‘Ammarah membacanya untuk tujuan pengubatan. Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT”


Permasalahan yang saudara bangkitkan, dengan ulasan penceramah tersebut, seme­mangnya boleh mencelarukan orang yang mendengarnya. Malah boleh memecah­ belahkan orang yang kurang ilmu penge­tahuannya tentang hadis.
Orang yang banyak membaca dan mema­hami ilmu syariat, khususnya menguasai hadis-hadis Nabi yang banyak boleh memahami hadis ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum, tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadis sahih sahaja. Tidak wajar, daripada satu hadis sahaja penceramah sudah membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain, kononnya Nabi tidak pernah mengubatkan pesakit.


Hadis-hadis sahih tentang pengubatan, saya dapati amat banyak. Memudahkan untuk kita memahami hadis-hadis ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis sahih tersebut, dikumpul­kan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil "Babuttadawi" (Bab Mengubat Penyakit). Saya menyimpulkan semua hadis­-hadis sahih tentang bab pengubatan penyakit ini dalam sekurang-kurangnya enam keadaan yang berlainan tetapi mempunyai signifikan yang sendiri.


Senario Pertama


Pesakit datang berjumpa Rasulullah s.a.w. meminta dirawat dan Nabi sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadis baginda sendiri. Ia terdapat misalnya dalam hadis dari Uthman Ibnul ‘Ass dan Aisyah binti Abu Bakr yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. mengubati keluarganya yang sakit. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.


Demikian juga Anas bin Malik mencerita­kan bahawa Tsabit al-Banani datang kepada baginda mengadu sakit, lalu Nabi merawat­nya. Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas, iaitu datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu, aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah s.a.w. ke atas ku. Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampi nya dengan jampi Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.


Senario Kedua


Nabi mengajar sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadis dari Aisyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubat penyakit..


Senario Ketiga


Nabi sendiri yang sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya. Sebaliknya diubati oleh Jibril a.s. Hal ini boleh dilihat dari hadis, Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Jibril mendatangi Rasu­lullah s.a.w. lalu berkata, wahai Muhammad apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibril menjampikan baginda.(Hadis Sahih Muslim).


Ini menunjukkan, bahawa pasti ada pera­wat kepada yang sakit. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakar lain dalam bidang-bidang tertentu.


Senario Keempat


Nabi s.a.w. sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Aisyah rha. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengadu kesakitan, baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Senario Kelima


Pesakit yang mahir ataupun pakar, boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku, ada ketikanya Jibril yang merawat ke­tika Rasulullah sakit dan dalam hadis sahih se­perti peristiwa menjelang kewafatan baginda, baginda meminta Aisyah rha. merawatnya.


Pada mulanya Aisyah enggan merawat Nabi kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah. Oleh kerana Rasulullah sendiri yang meminta Aisyah membacanya, lalu Aisyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan meme­gang tangan Rasulullah sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu.


Dalam senario ini juga, Nabi meminta Aisyah membawa sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan, lalu Nabi mencelupkan tangannya di dalam air itu, lalu Nabi menya­pukannya di muka dan di badan baginda.


Senario Keenam


Nabi tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Senario ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadis tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera.


Sememangnya Nabi s.a.w. pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain.


Oleh itu maka hadis yang saudara persoal­kan, hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah s.a.w.


Wallah hu ‘alam


[Petikan dari Harakah Bil. 1333 (16-30 April 2007 )

http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=8
. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~

10 February, 2011

Jin ~ Manusia memasukki Alam Jin..???

Benarkah Manusia boleh masuki alam jin?

Soalan

Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato' dapat jelaskan.

SUBHAN JAMAL,Kuala Langat


Jawapan

Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.

Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.

Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini.

Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.

Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.

Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu........(hingga akhir ayat)." (Surah al-Anfaal, ayat 48)

Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.

Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.

Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.

Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.

Dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin’.

Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.

Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.

Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.

Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.

Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.

Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.

Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.

Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.

Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati.

Wallahua'lam.

(Petikan dari Ruangan bersama Ustaz Dr. Haron Din: Harakah Bil.1340)

Petikkan ~ http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=29
. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~

09 February, 2011

Ayat 33

Amalan "Ayat~33" ini Sy dapat daripada Utz Sheikh Mohsen Sheikh Ahmad, ketika berkunjung di rumah beliau di Seremban pd bulan Oct.2010 lepas, namun beliau meminta Sy sendiri berjumpa Abg beliau iaitu, Dato Sheikh Murtadza utk di "Ijazahkan" sebagai pengamal Ayat~33 ini.
[Pada tahun 1990 Sy juga berkesempatan berjumpa Allahyarham Hj Musthapa Hj Ibrahim~
Beliau adalah Mantan Pegawai Penerangan JAIN[Kuala Pilah], dan semasa persaraan beliau juga seorang yg aktif dlm bidang dakwah di Seremban dan sekitar Kuala Pilah, Al-Hamdulillah, telah mengijazahkan kami sekeluarga ayat~33 ini]

Pd mlm itu[23.Nov.2010-Selasa] Sy dan beberapa Sahabat berkunjung di Surau  tmpt Dato Sheikh Murtadza mengajar di Rasah, Seremban. Sempat juga sy meminta izin utk dipanjangkan kpd Sdara Muslimin dan Muslimat, kata beliau, "..amalkanlah dan sebarkan kepada Ahli keluarga dan kenalan, dan beliau juga mahu kami memPERKASAkan juga Islam didalam diri dgn mengaji [belajarlah Fekah, Usuluddin dan Tasawur Islam].Dan ditekankan kepada kami dgn nasihat yg berUlang-ulang kali, utk menunjukkan betapa seriusnya beliau kpd kami bahwa "ilmu" itu amat penting.

Hari ini Umat Islam terlalu lemah, hinggakan banyak perkara-perkara mungkar terjadi, Sihir dan kes-kes penganiayaan berlaku dimana-mana sahaja. Ini adalah kelemahan terbesar Umat Islam hari ini..! Katanya kpd kami malam itu.Kami berasa amat terharu sekali pd malam itu, atas kemurahan hati beliau, menurunkan ayat33, dan beberapa nasihat yg amat berguna kpd kami. Moga Allah jua yg memberi kurnia balasan yg sebaik-baik pd beliau dan ahli keluarganya

Dato Sheikh Murtadza juga mengatakan pd masa askar2 kita ke Conggo, mereka ini juga dibekal ayat33 sebagai amalan harian mereka, AlHamdulillah, hasilnya bukan shj askar kita terselamat dgn izin Allah, malah mereka juga dpt menawan ramai musuh-musuh, ketika di sana.

Moga Allah jua yg membalas, jasa beliau dan juga Sahabat2 yg banyak membantu, dgn sebaik-baik balasan ..Amin! Ya Rabb Ya ArHammarrohimin Ya Zaljalalli walikram Ya Kariim

Alhamdulillah..! Ini adalah ayat tersebut. Wallahu A'lam.






. .
~***~LadingEMAS~***~


. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~

08 February, 2011

Azimat dan TangkaL, dan lilitan benang

LILITAN BENANG HITAM PADA BUDAK ADALAH AMALAN SYIRIK
Adakah Lilitan Benang Hitam pada budak adalah amalan syirik?

Soalan

MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak-­kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?

SHAMSIAH ABU BAKAR
Jerantut

Jawapan

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat, Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya berten­tangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud: “Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Ssiapa yang meng­gantung tangkal (Damimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajat­nya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ): Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.”
(Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem­percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua­-tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya): “Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.”

Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.

Waalahu a’lam.

(Petikan dari Harakah Bil.1335)

petikan dari : http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=17

. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~

07 February, 2011

Syiah Sesattt..??? Kenapa..?

Rabu, 2011 Januari 12


Syiah Sesat; Siapa Yang Keliru?

Posted by Abu Hannan On 16:37:00 5 comments

Berikutan isu penangkapan kira-kira 200 penganut syiah di gombak baru-baru ini, seorang penulis bernama Abu Bakar Abdullah yang mendakwa sebagai pengikut setia mazhab Shafi’e telah melahirkan rasa bingung dan tidak puas hati serta mendakwa  JAKIM dan ulama’sunnah khususnya di Malaysia keliru dalam memfatwakan ajaran syiah Imamiyyah sebagai ajaran sesat. Ini juga rentetan persoalan yang dikeluarkan oleh pembaca setia JTR bertanyakan berkenaan tulisan tersebut yang bagi beliau mungkin ada kebenarannya. Jawapan untuk persoalan ini telah disediakan oleh Lubna Salma dari Kajang berkenaan kekeliruan Abu Bakar Abdullah dalam suratnya yang dihantar dan disiar di akhbar Harakah. 
Persoalan saudara yang bertanya berbunyi begini:
Saudara, saya telah terbaca dalam satu tulisan diharakah yang menyatakan dia keliru dengan JAKIM dengan menyesatkan syiah.pandangan beliau nampak macam betul juga. tolong saudara jelaskan.

Syiah Imamiyyah sebenarnya juga dikenali sebagai mazhab ahli bayt /Syiah Imam Dua Belas -Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah /Syiah Ja’fariyyah  /Syiah al-Rafidhah melalui kaedah-kaedah keagamaan yang dianuti dan kelompok ini  cukup dikenali oleh ulama Islam sejak zaman tabi’en.  Syiah ini memiliki empat sumber utama di mana, menurut mereka, darjat muktabar dan kesahihannya tidak akan mampu dicapai oleh mana-mana sumber Ahli Sunnah.  Empat sumber utama tersebut ialah Usul al-Kafi, al-Istibsar, Man La Yahduruh al-Faqih dan Tahzib al-Ahkam.


Berdasarkan sumber-sumber ini, jelaslah Syiah ini bukan kelompok Zaydiyyah atau Mufaddhilah yang masih diterima ulama Islam dalam persoalan hukum fiqh kerana mereka bersikap tidak mengkafirkan tiga khalifah pertama Islam sebelum Ali bin Abi Talib r.a dan sebahagian besar sahabat nabi termasuk isteri baginda s.a.w.

Status Syiah Imamiyyah ini telah jelas di kalangan generasi ulama terawal  termasuk empat imam mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Ahmad)  yang menolak dan menyesatkan ajaran ini . bahkan majoriti ulama’ terdahulu di kalangan mereka telah menggolongkan kelompok ini sebagai pendusta , zindiq  bahkan diragui keislamannya kerana beberapa ciri-ciri kesesatan aqidah mereka seperti mencaci, mencela dan mengkafirkan sejumlah besar sahabat nabi termasuk isteri-isteri nabi, menganggap Al-Quran telah diselewengkan (tahrif) dan diubah-ubah oleh para sahabat nabi. 

Imam Abu Hanifah berkata, “terimalah hadis dari semua golongan pelaku bid’ah yang sederhana dalam fahamannya kecuali 
Syiah kerana prinsip Aqidah Mereka ialah mempercayai sesatnya para sahabat Muhammad s.a.w.”
(Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi ma’rifati ilmi al-riwayah, hlmn. 146 ) 
Sementara  Imam Syafie berkata, “tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu, yang lebih pembohong  dari golongan Rafidhah” 
(Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil. 1, hlm. 327) 
Imam Malik ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata, “jangan kamu bercakap dengan mereka, jangan kamu meriwayatkan hadis dari mereka kerana mereka selalu BERDUSTA” 
(Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunah al-Nabawiyyah, jil.1 hlm. 16) 
Sementara Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.. “apabila kamu melihat seseorang selalu memburuk-burukkan sahabat maka raguilah keislamannya dan keimanannya”. 
Oleh sebab ruangan ini terhad, kita tidak mampu menyenaraikan fatwa-fatwa ulama’ Sunnah sejak awal islam sehingga hari ini termasuk Sayyid Abu Hasan Ali al-Nadwi, Said Hawa’, Nasiruddin al-Abani dan ulama’ulama hadis benua India mengenai Syiah imamiyyah kerana perbezaan dari segi usul aqidah dan syariat.
Dalam tulisannya, Abu Bakar Abdullah mendakwa menerusi pembacaannya di internet, tokoh-tokoh seperti Dr Yussof Qardhawi, al Marhum Syeikh Tantawi bekas Rektor Universiti al Azhar, Mufti Mesir, Mufti Syria, Mufti Lubnan, Mufti Pakistan, Mufti Turki dan ramai lagi ulama-ulama Ahlussunah yang telah mengeluarkan Fatwa bahawa Syiah Imamiah adalah Islam sebagaimana mazhab-mazhab lain di dalam Mazhab Ahlussunah, tidak sesat kafir. Kenyataan beliau jelas sekali keliru dan palsu, kerana sekalipun Yusuf Qaradawi turut sama dalam Amman Message bertaqrib dengan Syiah, beliau tidak pernah lupa mengingatkan kepada umat Islam tentang keSESATan SYIAH yang memiliki aqidah tarif al-Quran dan mencaci maki para sahabat nabi, malah beliau meletakkan syarat dua ciri aqidah Syiah ini dihapuskan sebagai syarat berjayanya projek tersebut. Tidak memadai di situ, Syeikh Qaradhawi melarang usaha penyebaran Syiah di negara-negara Sunni kerana menurutnya akan mencetuskan pertumpahan darah (rujuk Siaran al-Jazeerah, 31 Ogos 2006). 


Manakala Syeikh Tantawi pula sebelum kematiannya turut menyatakan golongan yang mencaci maki para sahabat dan isteri nabi bukanlah dari kalangan umat Islam. Beliau meninggal sebelum usul beliau terhadap pendirian syiah direkomendasikan kepada lembaga penyelidikan al-Azhar (eramuslim.com, 28 Ferbruari 2010).
Sebelumnya Syeikh Tantawi, turut mengecam usaha penyebaran Syiah yang dilakukan oleh sayap Hizbullah di Mesir yang sedang pesat berkembang (mufakkirah al-Islam : 19 April 2009). 
Barisan Mufti Pakistan sejak berzaman telah memfatwakan Syiah sesat malah terkeluar dari Islam. Malah ulama’-ulama’ hadis sunah di benua India (khususnya ulama’ Pakistan) paling kuat membongkar kesesatan aqidah Syiah menerusi karya-karya mereka yang tidak terhitung jumlahnya.
(sumber :  Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama & Kebingungan Ummah oleh Maulana Asri Yusuf). 
Malah di kalangan mereka ada yang dibunuh oleh orang-orang Syiah seperti Prof. Ihsan Ilahi Zahir.

Kita janganlah lupa kepada karya Sayid Abu Hasan Ali al-Nadwi bernama Shuurtaan Mutadhadataan 
(Syiah vs Sunah : dua wajah sentiasa berlawanan) dan karya Syeikh Said Hawa’ yang bertajuk,
Khumayniyyah : Syudzuuz fi al-Aqa’id wa al-Mawaqif (Khomeini: Keganjilan Aqidah dan Pendirian) yang secara terang-terangan membongkar kesesatan aqidah Syiah Imamiyyah yang perlu diawasi oleh umat Islam.

Syiah sering kali menyandarkan kepada sokongan ucapan dan dokumen Syeikh Mahmud Syaltut bagi membuktikan ajaran mereka diterima sebagai mazhab Islam, namun mereka tidak pernah mendedahkan fatwa Mahmud Syaltut menyatakan perkahwinan mut’ah yang diamalkan syiah bukannya datang dari syariat Allah dan Mahmud Syaltut tidak menerima konsep Imam Mahdi seperti ajaran Syiah. 

Mereka menyangka ulama’-ulama sunah tidak pernah menyedari kesesatan Syiah Imamiyyah dan berdiam diri padanya. Usaha taqrib, iaitu mendekatkan antara Sunah dan Syiah yang dipelopori ulama’ al-Azhar mendapat sambutan pada peringkat awal bagi mengelakkan pertumpahan darah dan mendakwahkan Syiah kepada aqidah yang benar menerusi dialog.  Namun pencetus kepada usaha ini, Syeikh Muhammad Abduh sendiri tidak sempat melihat hasil projek ini. Muridnya yang sangat terkenal bernama Rasyid Ridha yang turut terlibat dalam usaha ini telah berjaya mengesan hipokrit ulama-ulama Syiah dalam taqrib ini. 

Langkah ini turut diikuti oleh ulama lain seperti Mustafa Siba’ie yang menyedari helah Syiah yang hanya bertaqrib dimeja rundingan, bahkan telah membuka ruang yang besar agama syiah disebarkan di negara Sunnah.
Sebagai balasan kepada usaha ulama’ al-Azhar, seorang ulama’ Syiah bernama Abdul Husein Syarafudin al-Musawi mengambil kesempatan memperbodohkan dan mempersendakan Syeikh Salim al-Bisyri dalam dialog palsu (ditulis selepas 20 tahun selepas kematian Salim Bisyri) yang ditulisnya bertajuk al-Muraja’at (Dialog Syiah-Sunni). 
Dari sini kita membuat kesimpulan usaha taqrib ini yang dilanjutkan kepada Amman Message ini tidak pernah membantu apa-apa jua keadaan Ahli Sunnah di Iran sendiri, Iraq dan Afghanistan yang diperangkap dalam pertembungan Sunni-Syiah yang penuh berdarah dalam percaturan kepentingan politik antara Amerika dan Iran sejak era dunia moden.

Di sana terdapat pelbagai kepentingan dan opsyen politik antarabangsa bagi menangani isu ini. Syiah tidak seperti pertubuhan Arqam yang bersifat domestik yang mudah ditangani kerana tidak membabitkan hubungan negara antarabangsa dan semestinya membabitkan hubungan dengan negara-negara serantau dan kehendak penjajah rantau berkenaan. 
Sekalipun Syiah dibenarkan menunaikan haji ke Mekah (hanya kerajaan Saudi sahaja boleh menjelaskan sebab dan puncanya) dan Saudi terlibat dalam pertubuhan OIC dan Amman Message, Deklarasi Syiah-Sunah di Jeddah dan sebagainya, negara itu tidak pernah berhenti menyekat dan berdepan dengan tentangan keras dari komuniti Syiah di timur negara berkenaan. 
Morocco bertindak lebih berani memutuskan hubungan dengan Iran kerana usaha penyebaran Syiah yang semakin kritikal di negara itu. 
Yaman dan Saudi berusaha menyekat gerakan Syiah Haouthi di Sa’dah yang merebak ke wilayah Saudi. 
Kuwait melucutkan kerakyatan seorang ulama Syiah yang dianggap membahayakan umat Islam. 
Jika tindakan terhadap komuniti Syiah di Malaysia boleh dianggap “double standard”, bagaimana  pula dengan tindakan negara-negara rantau Arab berkenaan? 
Apakah mereka menerima Amman Message, pertemuan di Jeddah atau bagaimana? Dan apakah tindakan kejam sejak dinasti Safawiyyah ke atas etnik Sunnah yang asalnya 60% dari penduduk Iran ketika itu sehingga hari ini di Baluchistan, Ahwaz, Zahedan dan lain-lain bukan double standard? 
Kerjasama tentera Syiah nuri al-Maliki bersama dengan penjajah Amerika membunuh penduduk Sunnah di Iraq tidakkah satu double standard? 
Jika JAKIM keliru apakah PAS juga keliru memecat keahlian beberapa individu yang terlibat dengan Syiah pada 1990-an?
Kembalilah kepada isu pokok, Syiah (Imamiyyah) difatwakan sesat kerana ciri-ciri aqidahnya yang kufur dan bertentangan dengan Islam yang telah lama diputuskan oleh ulama-ulama terbilang kita. JAKIM serta JAIS memiliki alasan yang kukuh bertindak ke atas mereka atas maslahat aqidah ummah. Isu agama seharusnya menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri dan JAKIM. Bukan orang awam yang jahil dan sering terkeliru dan yang sudah dibius oleh Syiah menjadi keliru.. Wallahu a’lam.






Video SYIAH menCELA Sahabat Rasulullah dan Ummu al-Mukminin.





Video Mubahalah (sumpah laknat) antara Syeikh Muhammad al-Kaus (Sunnah) dan Yasir al-Habib (syiah). Sunnah mempertahankan bahawa Sahabat (Abu Bakar, Umar, Othman dan Hafsah) dan Ummu al-Mukminin A'isyah adalah ahli syurga manakala Syiah mempertahankan bahawa Sahabat dan Ummu al-Mukminin A'isyah adalah ahli neraka.


5 Komen:

Terima kasih kpd encik krna tolong menyelesaikan kekeliruan saya selama ini.. banyak bnda yg dulunya kusut dan mengelirukan telah encik betulkan dengan izin Allah..

Untuk itu boleh tak encik tolong terangkan kepada saya tentang hukum islam dengan undang islam negara Malaysia..
saya sehingga kini masih tak faham adakah orang yg melakukan dosa besar dan menjalani hukuman mengikut undang-undang Malaysia akan terhapus dosanya sama dengan hukuman dalam islam..
sebagai contoh:
org yg berzina menurut hukum islam harus direjam sampai mati jika sudah berkahwin, tapi bagi undang2 Malaysia, mereka hanya dipenjara dan mungkin di sebat.. adakah dosa itu akan terhapus??

jadi di sini, adakah undang2 Malaysia boleh disamakan dengan hukum Islam atau hukuman rejam sememangnya tak wujud atau sememangnya Malaysia tak boleh mengamalkan hukum2 itu hanya kerna kita berbilang kaum dan bangsa walau negara ini negara Islam??

jika saudara punyai masa,moga saudara sudi meluangkan sedikit masa utk persoalan saya yg xbrapa penting ini..atau sekiranya sandara sudah membuat kenyataan tentang persoalan ini tetapi saya tidak menyedarinya..moga saudara boleh mmbuat link untuk itu..

sekian, terima kasih..
salam..

saya ingin menjawab secara ringkas sebagai pengunjung di sini..

undang-undang manusia tidak sama dengan undang2 ALLAH..
jika sesuatu kerajaan yang mengisytihar negara mereka islam tetapi tidak melaksanakan hukum islam (iaitu hukum dr Allah) scra keseluruhan..maka berdosa la bagi pemimpin krn x jalankan hukum tersebut.

dosa akan terhapus sekiranya mereka benar2 bertaubat dan insaf serta kembali ke pangkal jalan (x ulang lagi dosa). tapi tentg hukuman islam yg x dijalankan apakah mereka masih berdosa atau tidak, sy pon x pasti..tunggu admin blog ni jawab.

hukuman bagi penzina yg telah berkawin mesti direjam sampai mati..adalah wujud, telah dinyatakan Di dalam sebuah hadith:

Daripada Ibn Umar r.a.: Seorang lelaki Yahudi dan seorang wanita Yahudi telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. diatas kesalahan melakukan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka berdua (lelaki dan wanita Yahudi tersebut), “ Apakah hukuman yang sah (untuk dosa penzinaan) yang terdapat di Kitabmu (Taurat)?”. Mereka menjawab, “Rahib-rahib kami telah mereka-reka hukuman iaitu menghitamkan muka dengan arang dan Tajbiya”. Abdullah bin Salam berkata, “ Wahai Rasulullah, suruhlah mereka untuk membawa Taurat”. Taurat dibawa dan salah seorang daripada golongan Yahudi telah meletakkan tapak tangannya diatas ayat yang menyebut tentang Ar-Rajm (rejam dengan batu sehingga mati) dan membaca ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Maka berkata Ibn Salam kepada orang Yahudi itu, “Angkat tanganmu”. Maka apabila ayat berkenaan Ar-Rajm (sememangnya) berada di bawah tangan lelaki Yahudi itu. Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan lelaki dan wanita Yahudi yang melakukan zina itu direjam dengan batu sehingga mati. Ibnu Umar menambah: Kedua-duanya direjam di Balat dan aku melihat lelaki Yahudi itu melindungi wanita Yahudi itu. [Sahih Al-Bukhari]
Salam sejahtera kepada saudara yang bertanya, saya tidaklah terlalu arif untuk menjawab persoalan di atas, insyaAllah saya akan jawab sebarapa yang termampu. =)

1. Berkenaan dengan Hukuman Islam (syariah) dan Hukum sivil. ia memang dua perkara yang berbeza. Jika dilihat aplikasinya di mahkamah syariah pun, kita masih belum boleh menerapkan sistem hukuman jenayah syariah yang total untuk umat Islam. Dan ini mungkin berpunca dari keengganan pemerintah untuk menggunakan syariah compliant di dalamnya. Perlu diingat, sesuatu enakmen yang selari dengan apa yang disebut di dalam al-Quran dan al-Sunnah, ia boleh diklasifikasikan sebagai undang-undang syariah. Ia juga termasuk ijtihad pemerintah dalam hal-hal yang tidak termasuk dalam kes hudud dan qisas, iaitulah Ta'zir. Saya menasihatkan agar kita boleh rujuk terus kepada pengamal undang-undang syariah atau pakar bagi penjelasan yang lebih lanjut.

2. Pelaku jenayah, sama ada dia redha atau tidak redha, jika pemerintah menjalankan hukuman Islam dan kesalahan dia sabit dari sudut undang-undang serta jenayah dia dibuktikan benar berdasarkan saksi yang adil dan sebagainya, dia tetap akan dihukum dengan hukuman yang ditetapkan Islam. Masalahnya yang timbul sekarang, pihak pemerintah tidak menjalankan sistem Islam. dalam hal ini, tanggungjawab terletak dibahu pemerintah, bukan pada pesalah.

3. Pesalah masih berdosa atau tidak atau dosanya terhapus jika ia dihukum dengan hukuman sivil? dalam hal keengganan pemerintah untuk menjalankan hukuman Islam, tetapi pesalah ingin dihukum dengan hukuman Islam (seperti bukti kes kartika), ia kembali kepada taubat sipelaku jenayah tadi. Dengan syarat taubatnya benar-benar ikhlas dan menepati syarat-syarat taubat. Ini disebabkan keengganan pemerintah untuk menjalan hukum syariah. Wallahu a'lam.

4. Hukum rejam penzina yang sudah berkahwin. Ia sememangnya ada di dalam Islam. Ia berdasarkan hadith muslim ini:

“Dari Imran bin Hussin r.a seorang perempuan dari kabilah Jahinah datang
menghadap Rasulullah saw dalam keadaan mengandung atas perbuatan zina dia
berkata:Wahai Nabi Allah! Saya telah mengenai hukum had.Maka lakukanlah terhadap saya .Lalu Rasulullah saw memanggil walinya seraya bersabda:Berlaku baiklah kepadanya ,apabila dia telah melahirkan anaknya bawalah dia kepadaku.Lalu walinya melakukan apa yang telah diperintahkan .Maka diperintah supaya diperkemas pakaiannya kemudian diperintah supaya direjam(sehingga mati).Kemudian Rasulullah saw menyembahyangkannya jenazahnya .Maka berkatalah Umar ra adakah engkau telah telah menyembahyangkannya wahai Rasulllah padahal dia telah berzina,lalu Rasulullah telah bersabda : Sesungguhnya dia telah bertaubat, andai dibahagikan taubatnya itu di kalangan tujuh puluh orang penduduk Madinah,nescaya luas untuk mereka, adakah kamu sendiri dapati lebih baik dia bersikap baik kepada Allah dengan menyerah diri kepada Allah s.w.t.
(Riwayat Muslim)

Hadis ini secara jelas mensabitkan hukum bagi orang yang telah berkahwin melakukan zina.

5. Undang-undang Malaysia yang ada pada masa kini tidak menggunakan aplikasi syariah secara total kecuali dalam hal-hal yang berkaitan ta'zir. Jadi, jika Islam menggunakan sistem syariah secara total untuk umat Islam, mungkin kita boleh katakan Malaysia mengikut undang-undang Islam. Tidak boleh disamakan undang-undang yang dijalankan di Malaysia sekarang dengan Undang-undang Islam. Wallahu A'lam.

Terima kasih kepada pemberi komentar di atas kerana membantu saya menjawab persoalan di atas. Semoga Allah memberkati.
sharul kangar...

sememangnya Jakim telah melalukan yang terbaik dalam membanteras fahaman menyeleweng ini. Tahniah jakim!

dari itu, saya puji blog tuan kerana banyak membuka minda masyarakat kita yang sering tidak terdedah dengan isu2 seperti ini. terima kasih.
Terima kasih kepada yg mmbantu saya menyelesaikan persulitan ini..
Barulah saya sedar rupanya negara kita(Malaysia) masih jauh utk d'iktiraf sebagai negara Islam yg mengamalkan Islam keseluruhannya..

Catat Ulasan

http://jejakitinggalanrasul.blogspot.com/2011/01/syiah-sesat-siapa-yang-keliru.html

. .
~***~Taman KoperasiBENA, IJOK~***~
~*~ Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... ~*~