USUL DUA PULUH
Usul Dua Puluh ~ As-Syahid Hasan Al-Bana
MUQADDIMAH.
Usul Isyrin yang ditulis oleh Ustaz Hasan Al-Bana ini adalah dianggap di antara tulisannya yang penting, kerana Usul Isyrin ini mengandungi beberapa perkara yang wajib dipercayai dan diketahui oleh tiap-tiap orang Muslim dan wajib diikuti dalam tindak-tanduknya; hubungannya dengan khaliqnya dan hubungannya sesama manusia. Jadi kita kumpulkan beberapa huraian ringkas oleh As-Syahid Hasan Al-Banna yang dapat difahami seperti mana yang diterangkan oleh Al-Mursyid itu sendiri.
Dalam Usul Isyrin ini, ia menerangkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku perselisihan pendapat (pertikaian), terutama dalam hal-hal yang berkenaan aqidah. Ia mesti difahami sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah An-Nabawiyah. Semoga dengan penerangan ini setiap orang Muslim yang mengikuti syarahan ini akan memahami Islam sebagaimana ianya patut difahami tanpa menokok tambah ataupun mengurangkan sedikit pun dari apa yang telah diturunkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya s.a.w.
Demikian juga dalam Usul Isyrin ini Hassan Al-Banna, Al-Mursyid Rahimahullah, menerangkan bahawa di dalam Islam ini terdapat hal-hal yang dibenarkan berbeza pendapat di samping perkara-perkara yang tidak boleh berbeza pendapat tadi. Semoga dengan ini setiap orang Muslim itu mengetahui di mana tempat-tempat yang ia boleh berbeza dan tidak merasa ganjil bila berhadapan dengan perbezaan pendapat seperti itu.
Al-Mursyidul Am dalam penyusunan kitab-kitabnya adalah benar dan menepati sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun demikian kita mesti ingat bahawa tidak ada orang yang maksum melainkan Rasul-rasulnya (a.s.).
Kita berpesan kepada ahli-ahli Ikhwan agar membaca dan mengulang- ngulang buku ini sehingga ia bersebati dengan mereka. Kemudian apa-apa yang telah diketahui dan difahami daripada ajaran-ajaran Islam tersebut hendaklah diamalkan. Amalan itu pula hendaklah amalan yang membentuk jiwa dan membina peribadi dalam suasana Islam; kerana beramal dalam pembentukan peribadi adalah cara yang dapat membentuk jiwa.
Inilah jalan yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah yang mulia di mana mereka beramal dengan apa yang diketahui. Semoga Allah swt. memberikan hidayahNya, meredhai dan memberikan pertolonganNya kepada semua ahli-ahli Ikhwanul Muslimin sehingga mereka teguh berkhidmat untuk agamaNya, dan semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada Al-Mursyid dengan petunjuk dan kebaikan dan cintakan pengorbanan dan jihad.
USUL DUAPULUH
(USUL ISYRIN) DAN KETERANGANNYA
ASAS PERTAMA:
Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.
1.1 Keterangan:
Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh
kerana Islam diturunkan untuk semua manusia, ini jelas dibuktikan oleh firman
Allah:
“Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya
sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi ingat”. (S 34: 28)
“Tiadalah kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab” (S 6:38)
dan firman Allah:
“Untuk menjelaskan segala sesuatu”(S 16:89)
Di atas dasar sifat-sifat Islam yang tetap dan tiada berubah inilah Al- Mursyid Hasan Al-
Banna Rahimahullah telah berbicara dalam asas yang pertama ini untuk menjelaskan sebahagian
dari perkara-perkara yang terkandung dalam Islam.
Penjelasan yang dibuat oleh Al-Mursyid ini diperkuatkan lagi oleh Al-Quran, yang mana di
dalam Al-Quran kita dapati ayat-ayat yang bersangkutan dengan hukum, ayat-ayat yang
bersangkutan dengan sembahyang, ayat-ayat yang bersangkutan dengan mu’amalat, kehakiman dan
seterusnya.
1.2 Islam adalah NEGARA:
Islam adalah Negara, sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud
bahawa Islam telah menyentuh hukum-hukum yang menitik beratkan persoalan negara. Islam
bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga
menyusun hubungan antara sesama manusia, hubungan individu dengan jamaah, hubungan
jamaah dengan jamaah yang lain. Jamaah ini pula memilih suatu sistem siasah yang didokong
oleh negara, manakala negara pula mempunyai seorang ketua yang dikenal: dalam istilah
fiqah sebagai imam atau khalifah.
Islam telah menerangkan asas bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap negara, demikian juga hak negara terhadap individu.
Dalam zaman moden ini kajian dan perbincangan yang lengkap dalam persoalan negara dan
hubungannya dengan individu adalah dibincangkan dalam undang-undang perlembagaan
dan undang-undang perlembagaan adalah merupakan salah satu dari cabang undang-undang.
Negara (daulah) menurut pandangan Islam adalah negara fikrah, fikrah Islamiah. Oleh itu
daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan Qaumiah, bukan jenis dan bukan iklim.
Ketua negara dipilih melalui orang-orang Islam sesuai dengan syarat- syarat tertentu. Syarat
-syarat ini tersimpul dalam dua sifat:
Kemampuan dan Amanah.
Tujuan dan perlantikan ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat
dan membimbing manusia untuk melakukannya. Kedudukan dan peranan individu dalam negara
Islam amatlah menonjol dan berfungsi, tidak dipendap dan diabaikan. Individu adalah
bertanggungjawab terhadap perjalanan negara agar tidak menyeleweng dan bertanggungjawab
terhadap ketua negara agar beliau menunaikan kewajipannya.
Atas dasar ini, individu adalah berhak mengawasi, memberi nasihat, memberi
petunjuk dan mengkritik. Manakala pihak negara pula adalah bertanggungjawab terhadap
individu, bertanggungjawab dalam memberikan jaminan hidup yang mulia kepada individu.
(m/s 4)
. .